Sunday 15 April 2012

sejarah pertanian

Sejak permulaannya kira-kira 10,000 tahun yang lalu, pertanian telah berkembang pesat daripada segi keluasan dan hasilnya. Pada sepanjang tempoh perluasan itu, teknologi dan tanaman baharu disepadukan. Walaupun amalan pertanian seperti pengairan, penggiliran tanaman, baja, dan racun perosak sudah lama diperkenalkan, namun pencapaian kemajuan yang besar hanya berlaku pada abad yang lalu. Sejarah pertanian memainkan peranan yang utama dalam sejarah manusia kerana kemajuan pertanian merupakan salah satu faktor yang penting dalam perubahan sosioekonomi di seluruh dunia. Tumpuan kekayaan dan pengkhususan ketenteraan yang jarang ditemui dalam budaya pemburu-pemungut umumnya dilihat dalam masyarakat yang mengamalkan pertanian. Demikian juga halnya dengan seni seperti kesusasteraan epik dan seni bina tersergam dan bersejarah, serta juga sistem undang-undang terkanun. Apabila petani mampu menghasilkan makanan yang melebihi keperluan keluarga masing-masing, orang lain di dalam masyarakat mereka dibebaskan untuk mengabdikan hidup mereka dalam projek bukan pemerolehan makanan. Ahli sejarah dan ahli antropologi telah lama berpendapat bahawa pembangunan pertanian memungkinkan peradaban.



Semasa zaman purba, Kawasan Sabit Subur yang terletak di Asia Barat, Mesir, dan India merupakan tapak penyemaian dan penuaian terancang yang terawal terhadap tumbuhan yang dahulunya dipungut dari hutan liar. Perkembangan pertanian yang berasingan berlaku di bahagian utara serta bahagian selatan China, dan di Sahel di Afrika, serta juga di New Guinea dan sebilangan kawasan di benua Amerika. Lapan tanaman yang dikenali sebagai tanaman pengasas Zaman Neolitik ialah: pertamanya gandum emer dan gandum einkorn dan kemudiannya barli tersekam, kacang pea, lentil, vec pahit, kacang kuda, dan flaks.

Menjelang 7000 SM, pertanian skala kecil tiba di Mesir. Sejak sekurang-kurangnya seawal 7000 SM, subbenua India memperlihatkan perladangan gandum dan barli, sebagaimana dibuktikan oleh ekskavasi arkeologi di Mehrgarh, Balochistan. Menjelang 6000 SM, pertanian skala pertengahan berakar umbi di tebing Sungai Nil. Sekitar saat itu, pertanian dibangunkan secara berasingan di Timur Jauh, dengan padi (bukan gandum) dijadikan tanaman utama. Petani Cina dan Indonesia selanjutnya menjinakkan keladi dan kacang, termasuklah kacang hijau, kacang soya, dan azuki. Untuk melengkapi sumber karbohidrat yang baharu ini, penangkapan ikan berjala yang amat teratur di sungai, tasik, dan pantai lautan memperoleh banyak protein yang diperlukan. Kaedah pertanian dan penangkapan ikan yang baharu ini bersama-sama memulakan ledakan kelahiran manusia yang mengerdilkan semua perkembangan dahulu dan masih berterusan pada hari ini.


Menjelang 5000 SM, Sumeria telah membangunkan teknik pertanian teras yang termasuk penanaman giat skala besar, penanaman tanaman tunggal, dan pengairan terancang, serta juga penggunaan tenaga buruh yang khusus, terutamanya di sepanjang jalan air yang kini dikenali sebagai Shatt al-Arab (dari delta Teluk Parsi sehingga kuala Sungai Tigris dengan Sungai Furat). Pembelajinakan aurok dan mouflon liar yang masing-masing menjadi lembu dan biri-biri membawa kepada penggunaan haiwan skala besar sebagai makanan/gentian serta juga sebagai binatang beban. Gembala menyertai petani sebagai pembekal utama dalam masyarakat menetap dan nomad separa. Jagung, ubi kayu, dan ubi garut dijinakkan buat pertama kali di benua Amerika sejauh 5200 SM.[22] Ubi kentang, tomato, lada, labu, dan beberapa jenis kacang, serta juga tembakau, dan berbagai-bagai tanaman yang lain juga dimajukan di Dunia Baharu. Demikian juga halnya dengan peneresan lereng bukit yang curam secara meluas di kebanyakan kawasan Banjaran Gunung Andes di Amerika Selatan. Orang Yunani dan orang Rom memajukan lagi teknik yang dipelopori oleh orang Sumeria tetapi tidak membuat banyak kemajuan yang baharu pada asasnya. Orang Greek selatan bersusah payah mengerjakan tanah mereka yang sangat tidak subur, tetapi berupaya menjadi sebuah masyarakat yang paling berpengaruh buat bertahun-tahun. Orang Rom terkenal kerana menitikberatkan penanaman tanaman untuk perdagangan.


Semasa Zaman Pertengahan pula, para petani di Afrika Utara, Timur Dekat, dan Eropah mula memanfaatkan teknologi pertanian, termasuklah sistem pengairan berdasarkan prinsip hidraulik dan hidrostatik, serta juga mesin noria (kincir air), mesin penaik air, empangan, dan takungan. Kesemua itu, bersama-sama dengan rekaan penggiliran tanaman sistem tiga petak dan bajak sepak, mempertingkat kecekapan pertanian dengan ketara.


No comments:

Post a Comment